31/03/2013

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi

Kita sebagai manusia dan hamba Allah mudah lupa untuk menikmati nikmat Allah terutamanya nikmat tidur, adab tidur dan bangun kita jarang praktiskan apatah lagi nak ikut sunah nabi.

Jom kita lihat 10 adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi.

 Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-1) Muhasabah diri beberapa saat sebelum tidur. Renungkan sejenak  segala amalan yang dilakukan pada siang hari. Ucapkan Alhamdulillah jika berjaya menjadi insan soleh sepanjang hari, beristighfar dan bertaubatlah sekiranya ada berbuat salah kepada Allah.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-2) Tidur awal supaya mudah untuk bangun lebih awal dan berqiamullail.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-3) Disunatkan berwuduk sebelum tidur dan tidur di atas tulang rusuk sebelah kanan.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-4) Disunatkan mengibas tempat tidur sebelum tidur.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-5) Makruh tidur meniarap.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-6) Menutup pintu, tingkap dan memadamkan lampu sebelum tidur.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-7) Membaca ayat kursi, dua ayat teakhir daripada surah al-Baqarah, dan tiga Qul.

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-8) Membaca doa dan zikir yang bermaksud "Ya Allah, perliharalah aku daripada azab-Mu pada hari Engkau membangkitkan kembali segenap hamba-hambaMu." (Riwayat Abu Daud).

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-9) Apabila berasa takut semasa hendak tidur, disunatkan berdoa seperti berikut " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada murka-Nya, kejahatan hamba-hamba-Nya, daripada gangguan syaitan dan kehadiran mereka kepadaku." (Riwayat Abu Daud).

Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi-10) Membaca doa bangun daripada tidur.  Rasulullah bersabda yang bermaksud "Segala puju bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikan-Nya, dan kepada-Nya kami dikembalikan." (Riwayat al Bukhari).

InsyaAllah. Untuk kita amal dan sampaikan.

Sumber: Gen-Q 19 (Adab tidur dan bangun mengikut sunah nabi).

30/03/2013

3 lokasi yang disukai Nabi saw

Terdapat 3 lokasi yang disukai oleh Nabi/Rasulullah s.a.w. iaitu:

1) Kota Makkah 

Rumah ibadah pertama yang dibangunkan di muka bumi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Engkau (Makkah) adalah negeri yang paling baik, dan aku sangat mencintaimu. Andai sahaja kaumku tidak mengusirku darimu (Makkah), aku tidak akan tinggal di suatu tempat pun selainmu." (Riwayat al-Tirmizi)

2) Kota Madinah

Turut dikenali sebagai Madinahal-Munawwarah. Di sana juga terdapat Masjid Nabawi iaitu antara masjid yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan turut pernah disebut Rasulullah dalm hadisnya.

Rasulullah juga pernah berdoa agar Madinah diberkati Allah sama seperti Makkah, maksudnya: "Ya Allah, jadikan keberkatan kota Madinah dua kali ganda keberkatan yang Kau jadikan untuk kota Makkah." (Riwayat al-Bukhari)

3) Gunung Uhud

Gunung yang berada di kota Madinah dan dinamakan Uhud kerana gunung ini terpisah daripada gunung-gunung yang lain. Gunung Uhud pernah menyaksikan beberapa peristiwa sejarah yang besar, antaranya Perang Uhud.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Gunung ini menyukai kita dan kita juga menyukainya." (Riwayat al-Bukhari)

Sumber: Gen-Q 19 (3 lokasi yang disukai Nabi saw).

Sunnah menjilat jari selepas makan

Jika difikirkan kembali, kita dilarang menyentuh makanan dengan tangan kerana makanan akan cepat basi.  Hal ini kerana enzim yang ada pada jari kita itulah yang menyebabkan makanan itu menjadi basi lebih cepat daripada biasa.



Walaubagaimanapun, perbuatan menjilat jari setelah makan telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian kita terutamanya bagi masyarakat melayu di negara ini.  Ketika kecil, ibu bapa telah mengajar kita untuk menjilat jari setelah makan supaya tangan kita tidak comot.

Adakah kita tahu bahawa menjilat jari setelah makan itu salah satu sunnah Rasulullah s.a.w.?

Baginda bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu tidak mengetahui (bahagian) manakah (daripada makanan kamu) yang mengandungi keberkatan." (Riwayat Muslim)

Adakah kita tahu bahawa perbuatan ini mendatangkan banyak kebaikan dari pelbagai segi?  Sunnah ini telah dibukti secara saintifik, mampu membantu proses penghadaman di dalam perut kerana jari-jari kita mempunyai enzim yang diperlukan untuk pencernaan makanan.

Sunnah ini perbuatan Rasulullah, Baginda insan yang mulia.  Oleh itu, perbuatan ini juga termasuk perbuatan yang sangat mulia.

Sumber: Gen-Q 19 (Sunnah menjilat jari selepas makan).

Cara didik anak agar pandai dan berakhlak

Tags
Ibu bapa hendaklah menjadi pendidik kepada anak-anak. Sebelum ibu bapa membimbing anak-anaknya menjadi soleh, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menjadi soleh. Sekiranya tidak mahu anak-anak bercakap kasar, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu bercakap dengan lembut supaya menjadi teladan.

Seterusnya, carilah guru yang berwibawa untuk mengajar anak-anak tentang adab dan akhlak. boleh juga cari untuk mereka institusi pendidikan yang bukan sahaja menitikberatkan akademik tetapi juga pendidikan akhlak.

Rasullullah s.a.w. ialah pendidik terbaik dalam menanam agama dalam jiwa para sahabat hatta kepada anak-anak kecil.

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bagaimana Rasulullah mendidik. Salah satunya kisah yang diceritakan Abdullah bin Abbas;

Pada suatu hari, aku duduk di belakang kenderaan Nabi. Baginda bersabda kepadaku: "Wahai anak! sesungguhnya aku mahu ajarkan kamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu".

"Apabila kamu meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah".

"Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan manfaat kecuali ketentuan Allah".

"Sekirnya mereka berkumpul untuk memudaratkan dirimu, mereka tidak akan mampu memudaratkanmu kecuali dengan ketentutuan Allah".
(Riwayat al-Tirmizi).

Wallahu a'lam.

Sumber: al-Ustaz 12 (Cara didik anak agar pandai dan berakhlak).

Panduan pilih restoran untuk jamu selera

Secara mudahnya, restoran yang dimiliki oleh orang Islam dan pekerjanya adalah Muslim adalah harus dijadikan tempat makan. Jika sesebuah restoran diuruskan oleh orang bukan Islam dan majoriti pekerjanya bukan Islam, ia tidak harus dijadikan tempat makan bagi orang Islam.


Bagi lebih yakin, buat penilaian berikut:

1) Adakah restoran tersebut menyediakan babi dan makanan yang haram pada hukum syarak sebagai hidangan?

2) Pengurus kedai, adakah Muslim atau tidak?

3) Majoriti pekerja, adakah Muslim atau tidak?

4) Chef masakan, adakah Muslim atau tidak?

Jika penilaian ini lulus, maka harus dijadikan kedai tersebut sebagai tempat makan bagi Muslim.

Jika pengurus kedai makan adalah Muslim tetapi majoriti pekerja adalah bukan Muslim, maka ia bukanlah tempat makan yang sesuai bagi orang Islam.

Jika pengurus kedai adalah Muslim, tetapi semua chef masakan adalaj bukan Muslim, ia juga bukanlah tempat sesuai sebagai tempat makan bagi orang Islam.

Wallahu a'lam.

Sumber: al-ustaz 12 (Panduan pilih restoran untuk jamu selera)

22/03/2013

Manusia kufur lupa Tuhan ketika senang

Tags
Terlalu banyak nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita sehingga kita sendiri tidak mampu dan takkan mampu menghitung segala nikmat pemberian-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18).

Islam mengajar kita bertahmid mengucapkan ‘Alhamdulillah’ bagi menyatakan rasa terima kasih dan syukur kepada Allah SWT untuk nikmat yang dikurniakan. Namun, sejauh manakah ucapan terima kasih dan syukur itu dizahirkan melalui tindakan dan perbuatan.

Dalam ilmu tasauf, syukur didefinisikan sebagai ucapan, sikap dan perbuatan terima kasih kepada Allah SWT serta pengakuan tulus atas nikmat diberikan-Nya. Kufur nikmat adalah mengingkari Khaliq iaitu Allah SWT sebagai pemberi nikmat kepada manusia dan makhluk yang dicipta-Nya.

Orang yang tidak bersyukur akan berusaha menafikan segala pemberian diperoleh itu adalah daripada Allah SWT, seolah-olah nikmat yang mereka peroleh seratus peratus usaha sendiri, bukan atas bantuan Allah SWT.

Allah SWT ada menggambarkan dua jenis golongan yang kufur nikmat dalam Surah Al-Fussilat. Golongan pertama adalah seorang yang selalu memohon kebaikan dalam doanya dan tanpa disedari, dia sudah pun memilikinya.

Namun, tatkala Allah menarik kembali nikmat dan pemberian itu, dia terus berputus asa dan tidak lagi memohon kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan, dia menjadi seorang yang sangat berputus asa lagi putus harapan.” (Surah Al-Fussilat, ayat 49)

Lihat saja kehidupan kita sebagai manusia yang sering diuji dengan seribu satu macam jenis penyakit baik yang sudah berumur mahupun masih muda. Ada antara kita yang cepat berputus asa jika ditimpa penyakit yang kronik. Inilah salah satu jenis kufur nikmat yang perlu dielakkan.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila kami memberikan nikmat kepada manusia, lalu dia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila dia ditimpa malapetaka, maka dia banyak berdoa.” (Surah Al-Fussilat, ayat 51)

Golongan yang kedua ini ialah mereka yang lupa pada agama dan lupa Tuhan ketika senang. Nikmat dan pemberian Allah SWT membuatkan mereka leka dengan dunia dan jauh daripada Allah SWT. Apabila kesenangan itu bukan lagi milik mereka, barulah kembali memohon bantuan Allah SWT.

Sebagai hamba, kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk menjadi orang yang bersyukur, bukan hanya ketika senang, tetapi ketika dalam semua keadaan. Rasulullah SAW yang dikurniakan Allah SWT dengan sifat ‘maksum’ tetap berdoa supaya tergolong dalam golongan orang bersyukur.

Diriwayatkan Nabi SAW melakukan qiamullail hingga bengkak kedua kakinya, maka ‘Aisyah bertanya kepada Nabi SAW: “Mengapa kamu melakukan ini wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa engkau yang telah lalu dan yang akan datang? Maka Rasulullah SAW bersabda: Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Syukur itu ada tiga, iaitu bersyukur dengan hati, lisan dan perbuatan. Bersyukur dengan hati berniat melakukan kebaikan. Bersyukur dengan lisan ialah mengucapkan syukur kepada-Nya. Manakala yang ketiga ialah melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyebut-nyebut (dan zahirkan) sebagai tanda bersyukur kepadaNya.” (Surah Al-Dhuha, ayat 11)

Jangan hanya bersyukur pada lisan, tetapi kufur pada tindakan dan perbuatan. Semua nikmat yang Allah berikan hanyalah pinjaman saja. Ambillah pengajaran dari kisah Qarun yang ditenggelamkan oleh Allah SWT ke dalam perut bumi kerana kufur nikmat kekayaan yang Allah SWT berikan.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Sumber: beritaharian (Manusia kufur lupa Tuhan ketika senang).

Mensyukuri nikmat keamanan

Tags
Peristiwa pencerobohan Lahad Datu jadi iktibar umat Islam bersatu pertahan kedaulatan negara, agama.

Keamanan dan keselamatan negara berlandaskan konsep kedaulatan undang-undang. Oleh itu, apabila keamanan dan kedaulatan negara diganggu gugat, maka setiap inci tanah air ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang negara.

Sedarlah, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu telah memberi satu pengajaran besar kepada kita semua khususnya umat Islam bahawa kedaulatan dan keamanan negara adalah satu perkara yang perlu dipertahankan kerana ia membabitkan maruah tanah air.

Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar supaya meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Keamanan bererti kita bebas daripada segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian.

Alhamdulillah, kita bersyukur suasana harmoni ketika ini dapat dikawal dengan sebaiknya walaupun ada sedikit api perpecahan yang dilakukan oleh tangan-tangan gatal. Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan agama Islam terus dilindungi.

Keamanan adalah asas utama menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara. Percayalah, kedaulatan agama Islam pasti tercalar jika keamanan negara tergugat dan mustahil untuk menegakkan syariat Islam jika negara kacau bilau dan huru hara.

Ingatlah, pentingnya keamanan dalam kehidupan manusia, sehingga Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Allah SWT supaya bumi Makkah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran. Peristiwa ini berlaku ketika pembukaan kota Makkah sebagai pusat ibadah dan tanah suci.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima), tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Sejarah ketamadunan manusia menunjukkan bahawa nikmat keamanan mampu memberi sumbangan besar ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Harus diingat, suasana aman yang dinikmati ketika ini sebahagian besar datangnya daripada penat jerih usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia. Mereka berusaha menjalankan tugas diamanahkan penuh komited dan bertanggungjawab.

Sejarah membuktikan institusi penting ini sudah wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin. Sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab, beliau mewujudkan pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan orang awam.

Bahkan beliau sendiri turut serta menjalankan rondaan pada waktu malam melihat keadaan rakyatnya demi semata-mata untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.

Fungsi pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tidak dapat dinafikan, apabila ia menjadi tunjang berdasarkan prinsip maqassid syar’iah yang lima, iaitu memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda.

Peranan mereka amat membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat itu. Sebagai masyarakat, kita seharusnya saling bekerjasama dalam membanteras kegiatan jenayah. Janganlah bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan keselamatan menangani jenayah.

Keadaan ini akan menyebabkan gejala jenayah terus berleluasa yang akhirnya merugikan kita sendiri. Amalkan sikap ‘cakna’ atau ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Justeru, kita mesti bersatu untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan selamat sejahtera.

Marilah bersatu mempertahankan negara, menyokong dan mempercayai segala usaha dilaksanakan anggota keselamatan demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.

Sumber: beritaharian (Mensyukuri nikmat keamanan).