Allah swt telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhitung jumlahnya kepada manusia di muka bumi ini. Salah satu nikmat yang begitu besar harganya ialah nikmat kecergasan badan. Kecergasan merupakan satu perkara yang baik, tetapi ramai manusia melupakannya. Ia adalah lambang kesihatan dan kekuatan jasmani seseorang. Kecergasan hanya dihargai setelah badan kita terlantar di atas katil dan mengalami kesakitan.
Maka sebab itulah kita dituntut untuk menjaga kecergasan tubuh kita. Dengan adanya badan yang cergas, kita mampu belajar, menuntut ilmu dan juga beribadat dengan sempurna. Islam merupakan agama yang memberi ajaran bersifat holistik (menyeluruh) kepada manusia. Ia tidak hanya mengajar mengenai ibadat dan hukum-hakam, malahan memberi penekanan dalam aspek kesihatan dan kecergasan.
Antara saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw untuk kita bersukan demi mendapat badan yang cergas ialah:
1) Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada Mukmin yang lemah." (Riwayat Muslim).
2) Sabda Rasulullah saw lagi, maksudnya: "Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda." (Riwayat Muslim).
3) Sayidatina Aisyah rha meriwayatkan bahawa beliau dan Rasulullah saw pernah berlumba lari sebanyak dua kali. Perlumbaan kali pertama dimenangi oleh Sayidatina Aisyah dan kali kedua dimenangi oleh Rasulullah saw.
Wallahu'aklam.
Sumber: Gen-Q 09 (Saranan RASULULLAH- bersenam untuk CERGAS).
EmoticonEmoticon