16/07/2013

Syurga Itu Bukan Untuk Orang Mengelat

Tags

Ka’ab bin Malik RA tidak menghadiri perang Tabuk. Dia menghadap Rasulullah SAW dan langsung tidak mengemukakan alasan. Lihatlah apa yang dia katakan:

“Ya Rasulullah, jika aku mahu, aku boleh mencipta alasan. Tetapi aku tahu, walau aku terlepas di hadapan kau hari ini, aku tetap tidak akan terlepas di hadapan Allah nanti.”

Syurga Itu Bukan Untuk Orang Mengelat

Lihatlah Ka’ab bin Malik RA ini. Dia telah mempersembahkan alasannya terlebih dahulu kepada Allah, dan dia mengetahui bahawa alasan-alasannya takkan diterima. Lantas dia bergerak jujur dan mengaku akan ketidak hadirannya ke medan perang adalah tanpa sebab yang munasabah.


Lantas Allah mengarahkannya untuk dipulau sebagai denda. Tetapi selepas dia mengharungi dendaan itu dengan tabah, maka Allah menurunkan ayat Al-Quran mengampunkannya. Termasuklah Ka’ab dari kalangan yang termulia antara sahabat Rasulullah.

Tetapi lihatlah pula para munafiq yang tidak pergi juga pada Perang Tabuk itu. Mereka memberikan alasan kepada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan. Cuaca panas, ladang sedang masak ranum dan tiada penjaga, anak isteri tiada pelindung dan sebagainya. Rasulullah diam sahaja tanpa menghukum mereka.

Adakah mereka berjaya mendapat syurga?

Tidak. Bahkan Allah SWT berfirman mengherdik mereka.

“Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” Surah At-Taubah ayat 42.

Dan kemudian Allah campakkan mereka ke tahap yang hina. Lebih hina dari orang kafir di dalam neraka.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” Surah An-Nisa’ ayat 145.

Sumber : langitilahi.com ( Hilal Asyraf ) (Syurga Itu Bukan Untuk Orang Mengelat).


EmoticonEmoticon