01/08/2015

Segala Yang Memabukkan Tetap Dilarang

1) Dari Abu Musa RA ia berkata: "Ya Rasulullah, saya tinggal di suatu daerah di mana orang membuat sebangsa minuman keras dari madu dan dinamakan mereka al-Bit'u dan sebangsa minuman keras lagi dari gamdum dan mereka namakan al-Mizru." Rasulullah s.a.w bersabda: "Setiap minuman yang memabukkan adalah haram (terlarang)!" - Riwayat: Bukhari.
 
Segala Yang Memabukkan Tetap Dilarang

Huraian Hadith:
2) Seorang muslim wajib mengikat setiap perbuatannya dengan hukum syara' sebagai membuktikan komitmennya terhadap agama. Pengharaman meminum arak adalah kerana kesannya yang memabukkan.

3) Oleh kerana itu apa saja yang mempunyai potensi yang memabukkan maka ia adalah haram. Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin boleh bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar.

4) Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur, dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir hayatnya, ia akan mati di dalam kekufuran.

5) Sebagaimana inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan RA seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, khalifah Uthman mengingatkan agar berhati-hati terhadap arak kerana ia adalah punca segala perbuatan keji dan mungkar.

6) Apabila seseorang itu mabuk dia akan sanggup berzina dan membunuh seperti kisah seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah di masjid. Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Disebabkan sudah jatuh hati, lelaki itu menurut sahaja ketika disuruh oleh wanita itu memilih antara tiga perkara maksiat. Pertama minum arak, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi. Mengingatkan bahawa meminum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan, lelaki soleh itu terus memilih arak. Tetapi apa yang berlaku, dengan meminum arak yang memabukkan itu, dia ternyata telah melakukan dua kejahatan yang lain, iaitu berzina dan membunuh bayi di sisinya!

Wallahu'aklam.

Sumber: JAKIM.


EmoticonEmoticon