Sebagai umat Islam di Malaysia, kita bersyukur kerana struktur kepimpinan di Negara kita berada dalam keadaan stabil dan jauh lebih baik dari sesetengah Negara umat Islam lain yang sentiasa bergolak dan sebahagiannya dalam keadaan huru-hara. Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan yang menjadi paksi kepada kekuatan dan perpaduan ummah telah sebati di kalangan rakyat di Negara ini. Raja berperlembagaan adalah menjadi lambang sebuah Negara yang berdaulat, bebas dan merdeka serta merupakan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di Negara kita, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam.
Firman Allah dalam surah al-Maaidah ayat 8:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Secara tersiratnya pengekalan Institusi Raja di Negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia. Walaupun Negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun proses perpaduan ummah telah memberikan impak besar kepada pembentukan masyarakat. Proses mengurus krisis dan pertelagahan dalam masyarakat yang berlangsung dengan pantas adalah berdasarkan kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu. Baginda dalam menyempurnakan amanah tersebut akan memastikan perpaduan ummah terpelihara, kesucian Agama Islam terjaga, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilindungi dari sebarang bentuk pencerobohan.
Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Janganlah ada dari kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain.
Ingatlah bahawa musuh-musuh Islam senantiasa berusaha memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat. Konsep pecah dan perintah menjadi alat musuh Islam untuk berkuasa, mengeksploitasi, menjajah dan menindas mana-mana umat yang lemah. Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri. Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini mimbar menyeru kepada semua jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui termasuklah kesucian Agama Islam sebagai Agama Rasmi di Negara ini.
Kedaulatan Islam dan perpaduan ummah menjadi tonggak kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga Negara dan kesucian Agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Sekalian rakyat merafak sembah dan menjunjung setinggi tinggi kasih atas keprihatinan Baginda dalam memartabatkan agama, memajukan Negara dan membantu kehidupan rakyat jelata agar dapat hidup dengan aman dan harmoni. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah Negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Dan sabda Rasulullah SAW: Mafhumnya: “Sesiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari).
Bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badalishah pada 1 Jun 2013, marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Baginda sepanjang takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekalian sentiasa dibawah payung rahmat Ilahi, diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.
Semoga Baginda dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan Negara. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.Justeru kita sebagai rakyat Negara ini perlulah bersatu padu dan berpegang teguh bahawa Seri Paduka Baginda Yang d-Pertuan Agong adalah paksi kekuatan ummah di Negara ini.
Wallahu'aklam.
Sumber: khutbah jumaat 31/5/2013 - jakim (Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Paksi kekuatan Ummah).
EmoticonEmoticon